Sunday, August 23, 2009

aku, saya, kami &?

episod 1

Oleh: thinklove

Jalan terus berjalan..tanpa ia menoleh kebelakang lagi..tidak perlu ia memikirkan hal-hal yang hanya membuatkan dirinya patah semangat hingga membuatkan kehidupan sehariannya terus di serang kegelapan nafsu yang menenggelamkan nikmat hidup yang sebenar. Sedang masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi, semakin hari usiaku meningkat aku semakin tua, tetapi alangkah menyesalnya aku..amal solehku tidak bertambah dek kesibukan aku mengenai hal-hal keduniaan...hermm, keluhnya lagi dalam hatinya terdetik bilakah aku akan terus begini, mindanya terfikir akan masa hadapannya untuk meneruskan hidupnya...ia tidak pasti adakah masa depannya cerah atau gelap. Yang dapat mengubah hanya dengan memulakan langkah untuk maju membuka lembaran baru yang dapat memberi nafas baru memperbaiki kehidupan yang akan datang membersihkan kekotoran yang terpalit pada hari semalam...bayangan detik-detik masa depan terus menerus menerajang pemikirannya..

episod 2

Oleh: thinklove

Jam menunjukkan pukul 9:30 malam. Aku duduk di tangga hadapan rumah nenek. Sambil memandang sebuah sekolah berasrama yang begemerlapan berseri dengan sinar cahaya lampu-lampu jalan yang berhampiran denganya & juga kelihatan jalanraya agak sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang bersesak menuju ke destinasi yang mereka tuju. Pemandangan ini sungguh berbeda dengan

rumahku di johor bahru. Tatkala aku sedang menikmati kedamaian di ketika itu...fikiranku

melayang jauh mengingatkan aku pesanan nasihat daripada ibu bapaku, kawan-kawanku mahupun sahabatku, saudara & juga guru-guru yang memberi dorongan agar aku senantiasa memperkayakan diriku dengan segala ilmu yang bermanfaat & menguasainya agar ia adalah sebahagian kubu untukku melindungi diri daripada terjebak ke lembah yang boleh menghancurkan kehidupanku.

episod 3

Oleh: thinklove

Di waktu pagi ketika ku ---

Celik mata~minda terus terbuka mencapai perkara2 positif untuk difikir, dianalisis & kajian yang terperinci~agar dapat menghasilkan mutiara yang berkilau~mutiara yang berkualiti terasa manis seperti madu yang baru ditapis~bagai penulis yang dapat idea yang segar sedang berusaha menghasilkan sebuah karya yang membolehkan para pembaca memikirkan setiap apa yang dibaca. (20:19-/ 21 may 2007)

episod 4

Oleh: thinklove

Di kala hujan renyai-renyai minda ku terfikir

Hujan~fikiran terus mengisi minda seperti denyutan jantung
~fikiran yangtiada noktah~tenaga ditubuh sentiasa ada,
walaupun dikala keletihan memuncak
~minda terus diisi dengan segala perkara yang menyegarkan minda
~silap langkah~minda aktif, jiwa lemah
~ilmu itu luas xterkata untuk akal yang terbatas ini mencapainya
~masa terus berlalu-udara & segala gas dibumi bertukar dengan pantas-detik yang sedang dilalui
~terasa amat rugi kiranya xterhasil sebutir mutiara yang berkilauan menerangi kegelapan yang sering hampir dengan kealpaan
~ramai yang xsedar akan matlamat kehidupan yang hakiki
~cuma sekadar seketika, tatkala diwaktu hati terdetik, minda berfikir, pancaindera usha mencari
~dimana perkara setitis madu ku cari
~sebagai cetusan kesedaran yang membuka pintu hati untuk terus kembali ke pangkal jalan.

episod 5

Oleh: thinklove

Pada waktu pagi sebegini kedinginan telah hadir menjelma, manusia terus menerus dibuai mimpi,
pagi ini bagi manusia yang berjaga adalah waktu yang indah untuk mereka
berehat, bersantai menikmati kedinginan suasana pagi nan sepi.
sungguh amat selesa sekiranya menikmati suasana di pagi ini dengan melaksanakan

perkara-perkara yang tertangguh pada siang hari akibat desakan masa & ruang waktu yang sempit untuk melunaskan
tanggungjawab yang penting terhadap diri mereka sendiri agar pada hari esok mereka semakin teguh
untuk meneruskan kehidupan, tabah menghadapi apa jua cabaran & rintangan yang mereka hadapi & lalui.

Ketetapan yang pasti adalah jawapan mahupun keputusan yang mereka putuskan sendiri untuk,
maju melangkah kehadapan setapak demi setapak...tanpa memandang kebelakang semula,
ayuh diriku bangun jangan duduk lagi di alam semalam, ubah kehidupan dirimu sekarang jua,
usah menanti hari esok lagi yang tidak tahu adakah diri ini masih dapat melihat dunia yang fana atau
denyutan jantung & nadi sudah tiba masanya untuk berehat.

episod 6

Oleh: thinklove

Seronoknya hari ni, seronok ker biar betul engkau rasa seronok/
dihatimu sungguh terasa sepi seiring dgn perasaan bersalah.

Bersalah, oh biarkanlah perasaan itu berlalu pergi. Usah diperkatakan lagi,
Biar ia berlalu.... erm...

Bagaimana yer mahu berubah???

Kpd members di sini yg membaca nukilanku sila beri idea; 1 pun cukup.

episod 7

Oleh: thinklove

Idea sudah mari, ok da.

Hari ini, ape yer azamku untuk terus bangkit!! Tapi bukan untuk hari ni sahaja malah untuk hari yang terus menerus.

Daripada hari kelmarin aku asyik menyimpan kealpaan dalam kehidupan.

"aku asyik menyimpan kealpaan dalam kehidupan", aku yang lalai terhadap perintah Pemilik Kehidupan.

Aku bakal ketemu dengan ideanya, bagaimana pula dengan saya??

Kawan-kawan yang membaca nukilanku ayuh bantu saya....

episod 8

Oleh: ThinkLove

Jalan saya terus berjalan tanpa menoleh kebelakang lagi, saya tak hiraukan manusia & dunia..lg

yang sentiasa mendampingi di kiri & kananku.

Malas sangat saya nak ambil tahu pasal dunia ni lagi, :o buat saya bosan.

Saya bosan nak layan dunia & manusia, sebab membuatkan diriku selalu

lupa pada tuhan yang menciptakan saya & tuhan yang senantiasa memberi kenikmatan & memenuhi segala keperluan hidupku.

Saya sedang duduk termenung, sambil memikirkan idea & strategi untuk mengubah tingkahlaku diriku sendiri.

Yes!!, saya dapat idea...
saya tersenyum gembira kerna idea sudah mari masuk ke dalam kotak pemikiranku seiring mengetuk pintu hatiku.

Hai, kawan2 saya da dapat idea....bestnya..

episod 9

Oleh: ThinkLove


Takkan terputus di sini sahaja,
adakah ia bersambung lagi atau...

Ehm, fikir-fikir....tapi usah di layan sangat, nanti terganggu waktu tidur kamu.

Asalkan sudah faham cukup, sekadar panduan memikirkannya untuk diri sendiri.
Terima kasih sudi membaca.

Jazakallah
Alhamdulillah
Amin

Sumber: www.iluvislam.com

Wednesday, April 15, 2009

Hijrah

ARKIB : 04/01/2009

OLEH Abd Razak @ Rezeki Othman

IMAM Tua tidak memakai jubah hitam berjalur keemasan yang dibekalkan oleh Majlis Agama Islam Negeri seperti lazimnya. Hari ini dia hanya berbaju Melayu dan berkain pelikat. Kain serban dilipat bentuk tiga segi hanya disebar di bahu, tidak dililit di kepala. Sepatutnya jubah khas itu dipakai bagi membayangkan autoritinya sebagai imam bertauliah. Kepala yang sentiasa berlilit serban putih, kini cuma berkopiah.

Jarum di dinding masjid melewati angka satu. Waktu Zuhur sudah berlalu sepuluh minit. Azan pertama telah dilaungkan. Jemaah solat Jumaat kian ramai. Namun masih ada yang bersidai di tempat letak motosikal. Sebahagian pula ralit di bawah naungan pohon besar di kanan masjid. Melihat kehadiran Imam Tua, masing-masing bersurai dan memasuki masjid.

Bilal nampak Imam Tua melangkah masuk dari pintu kanan masjid. Dia tidak mempersoalkan kelewatan Imam Tua. Sementara makmum pula, memang disunatkan datang awal. Imam umpama guru dan makmum adalah murid. Tidak elok guru yang ingin mencurah ilmu, terpaksa menunggu murid. Kemuliaan ilmu umpama sungai, datangnya dari tempat yang tinggi, mengalir turun ke tempat rendah. Muridlah yang menunggu dan menadahnya dengan hati.

Minggu ini giliran Imam Tua, kerana minggu lepas Imam Muda menjadi khatib. Selalunya kedua-dua imam ini bergilir-gilir membaca khutbah dan mengimami solat Jumaat, berselang-seli.

Sebaik Imam Tua selesai mengerjakan sunat tahayatul-masjid, bilal bangun ke sisi mehrab dan mengambil tongkat khutbah untuk diserahkan kepada Imam Tua. Lekas-lekas Imam Tua mendesis, sambil tangan mengisyaratkan.

Imam Tua turut bangun ke arah mikrofon yang biasa digunakan oleh bilal. Dia menggenggam mikrofon dan memberi salam. Kemudian dia tunduk terdiam. Imam Tua seperti tercari-cari kata-kata sesuai untuk dituturkan.

Makmum tahu imam ingin buat hebahan. Masing-masing memberi perhatian. Setelah itu Imam Tua mengangkat muka. Suara Imam Tua agak perlahan dan tersekat-sekat, tidak lunak dan lancar seperti selalu.

“Tuan-tuan, dan semua anak mukim yang saya kasihi. Hari ini 28 Zulhijah 1429, bermakna dua hari lagi kita akan menyambut tahun baru Hijriah 1430. Tuan-tuan sekelian, saya sudah buat keputusan ‘berhijrah’ daripada menjawat jawatan imam kepada menjadi orang awam. Hari ini hari terakhir saya sebagai imam mukim ini. Saya akan meletakkan jawatan ini berkuatkuasa I Muharam 1430. Saya kira khutbah Jumaat hari ini khutbah terakhir saya. Khutbah widak.” Ada kesayuan dalam ucapannya.

“Sepanjang 30 tahun bertugas, sebagai manusia saya mungkin melakukan kesilapan. Maka saya mohon banyak-banyak maaf di atas kesalahan dan kelemahan sama ada yang nyata mahupun tersembunyi. Tolong beritahu permohonan maaf saya kepada seluruh anak mukim yang tidak berada dalam masjid ini, hari ini. Sekian.”

Jemaah sidang Jumaat mempamerkan pelbagai reaksi; ada yang melongong, melompong dan kepompongan. Pengisytiharan Imam Tua tidak disangka. Benarkah Imam Tua hendak berhijrah? Hijrah ke mana? Tentu ada sebab mengapa tiba-tiba Imam Tua hendak meletakkan jawatan.

Imam Muda turut melongong, matanya terkelip-kelip. Mulut tok siak ternganga, terkulat-kulat. Di dalam saf ketiga bahagian tepi kiri dua orang “Asri” terlopong. Asri Bobot melompong dan Asri Suko kepompongan. Yang lain-lain terkebil-kebil, saling berpandangan.

Aku yang berada di saf keempat di belakang Asri Bobot dan Asri Suko, turut melongong. Hatiku beristighfar berkali-kali sambil menarik nafas panjang. Sepanjang azan kedua, aku diterpa pelbagai pertanyaan ekoran pengumuman Imam Tua.

Imam Tua berdehem sekali, kemudian memulakan khutbah. Bacaannya dari awal tersekat-sekat, tersasul dan tenggelam timbul. Sejurus, kulihat tangannya mengelap mata dan hidung dengan bucu serban. Imam tua menangis ketika berkhutbah!


Tersasul

Jemaah yakin tersasul itu bukan disebabkan Imam Tua lupa memakai kaca mata rabun dekat yang biasa dibawa ke mana-mana. Bukan itu. Bacaan Imam Tua tersekat dan tersasul kerana emosinya terganggu. Inilah kali pertama dalam sejarah Imam Tua membaca khutbah sambil mengalirkan air mata, walau dicuba untuk menyembunyikan tangisan itu.

Apabila menyeru sidang Jumaat bertakwa dengan sebenar-benar takwa kepada Allah, suara Imam Tua bergetar. Dia teragak-agak membaca surah yang biasa untuk mengukuhkan seruan supaya hadirin takutkan Allah. Imam Tua membaca sepotong al-Qur‘an iaitu daripada surah An-Nur ayat 52, tetapi tidak membaca terjemahannya seperti biasa. Seakan ada kegugupan untuk dia meneruskan khutbah. Matanya mula berair.

Terdengar soksek-soksek di saf belakang, “Kenapa Imam Tua menangis?”

Dadaku berdebar. Aku beristighfar beberapa kali dan cuba memberi tumpuan kepada isi khutbah. Dua Asri di hadapanku kelihatan saling menjeling.

Tidak seperti makmum lain di belakang, mereka patuh kepada adab dan hukum ketika khutbah dibacakan. Imam Muda melihat tangan Imam Tua terketar-ketar. Imam Muda menyiapkan diri untuk menyambung khutbah sekiranya Imam Tua tidak mampu meneruskan tugas. Dia siap-siaga menunggu isyarat dari Imam Tua.

Asri Bobot dan Asri Suko kulihat gelisah. Namun bagi mereka berdua - hal ini pucuk dicita ulam yang datang. Aku tahu mereka berdua antara sebilangan anak mukim yang tak sukakan Imam Tua. Kalau boleh biar Imam Tua dipecat oleh Majlis Agama Islam Negeri. Apa yang berlaku sekarang Imam Tua lebih dulu ‘memecatkan dirinya’.

“Imam Tua dah marahkan kita Bobot.”

“Patutlah Imam Tua tak angkat muka langsung dan pandang ke arah kita.”

“Kau yang bocorkan rahsia kita, tak?”

“Sumpah, bukan. Dari mana Imam Tua tahu?"

“Pasti ada mata-telinganya, sebab kita bincang perkara ini di kedai kopi.”

Mereka tidak mampu menahan adab masjid supaya tidak bercakap-cakap semasa khatib berkhutbah. Atau sengaja buat-buat lupa dek hati diserbu rasa ingin tahu bertalu-talu. Dua hari lepas, di kedai kopi Haji Li, Asri Bobot melahirkan rasa tidak senang fasal Imam Tua yang didakwanya penyebab kepada perpecahan dalam kalangan penduduk. Perpecahan itu disebabkan perbezaan fahaman politik langsung tidak dibendung, bahkan lebih buruk lagi Imam Tua sendiri terang-terangan telah menyebelahi satu pihak.

Semasa pilihan raya dulu, tanpa segan-silu Imam Tua menyertai penyokong-penyokong parti di ‘pos-pos panas’ bagi menzahirkan pendiriannya. Telatahnya melaung slogan parti di khalayak disorot oleh ramai anak mukim. Dari situlah keharmonian kampung itu mulai dicemari anasir perpecahan. Aku sendiri terkesan hal ini. Sehingga institusi masjid turut dijadikan medan untuk satu pihak memanipulasi agenda politik mereka. Hal ini menyebabkan jemaah masjid dan penduduk jadi berpuak-puak.

Kecewa dengan sikap Imam Tua itulah, Asri Suko berbincang dengan Asri Bobot untuk memaklumkan perkara ini kepada Tuan Pegawai Daerah. Tujuannya untuk membendung perpecahan daripada menjadi lebih buruk.

“Langkah kedua, kalau cara itu tak berkesan; aku sendiri akan tulis surat kepada Majlis Agama Islam.” Kata-kata ‘aku sendiri akan tulis’ ditekan-tekan oleh Asri Suko. Aku yang turut mendengar kata-katanya terasa geli hati. Memang seperti yang aku jangka, Asri Suko datang bertandang ke rumahku pada malamnya dan meminta aku menaip surat, melaporkan angkara Imam Tua kepada pihak Majlis Agama.

Terlibat

“Saya boleh taip surat itu. Tetapi isi surat sama sekali saya tidak akan sebut nama individu yang terlibat. Saya tak mahu menuduh orang secara jelas. Kita hantar laporan, biar pihak Majlis datang siasat punca. Kalau cara ini, saya boleh tulis. Tapi kalau sampai nak arahkan pihak Majlis supaya pecat Imam Tua; rasa saya, ini kurang manis. Lagipun kita ni siapa?”

Asri Suko agak kecewa dengan jawapanku. Buat apa nak berdiplomasi, katanya; terus-terang saja kepada pihak Majlis. Bukan niatku untuk mencantas idea Asri Suko itu, tapi aku harus jadi penapis. Aku bimbang, perkara ini amat sensitif. Ia melibatkan orang ramai. Bila sebut pasal orang ramai, banyak benda perlu pertimbang. Untuk selesaikan satu masalah, kadang-kadang muncul pula dua-tiga masalah baru yang lain.

“Bobot, engkau ke yang beritahu Imam Tua rancangan aku?” Asri Suko menerka.

“Hish!” Asri Bobot menyiku Asri Suko. Mukanya masam mencuka.

Masing-masing diterpa pelbagai persoalan. Bacaan khutbah Imam Tua terus-menerus tersekat, tersasul. Sesekali Imam Tua berhenti dan mengesat air mata dengan kain serban di bahunya. Lama juga Imam Tua duduk di kerusi mimbar sewaktu istirehat antara dua khutbah. Selesai Bilal memperdengarkan doa, Imam Tua masih tidak menyambung khutbah kedua.

Aku juga dirasuk rasa ingin tahu. Apakah kerana Imam Tua tercabar dengan desas-desus orang kampung hendakkan beliau dipecat? Atau adakah ini ada kaitan dengan peristiwa petang semalam? Aku yakin, peristiwa petang semalam amat dominan dengan pengisytiharan Imam Tua sekejap tadi.

Batinku seakan menjerit untuk meluahkan satu rahsia yang tersimpan sejak semalam. Kalau boleh aku ingin memberitahu Asri Suko dan Asri Bobot tentang perkara ini, sekali gus merungkai situasi. Namun kutahankan hati agar bersabar; pertama kerana, khutbah sedang berlangsung, kedua; berdosa hukumnya jika dedahkan keaiban orang.

Ya, biarlah rahsia ini kujaga, untuk kujadikan teladan dan sempadan. Namun gegendang telingaku terasa bagaikan hendak pecah dengan suara maki hamun dan sumpah-seranah yang tidak henti-henti berdengung. Kata-kata maki-seranah, dan sedikit carutan lucah itu seumur hidupku tidak pernah dengar. Malang sekali, kata-kata hodoh itu datangnya dari mulut seorang imam, Imam Tua itulah.

Aku yang kebetulan melalui jalan parit untuk ke kebun pisang di seberang sawah telah menyaksikan suatu insiden yang jarang sekali berlaku. Aku tidak tahu mengapa aku memilih jalan alternatif itu, sedangkan ada jalan lain yang lebih elok untuk ke sana.

“Budak-budak laknat, anak celaka, anak syaitan, iblis. Kau jahanamkan padi aku! Kau orang tak reti tengok ke, ini tanah orang, padi orang!”

Ketika itu aku melihat ada syaitan bertenggek di kepala Imam Tua. Wajah Imam Tua garang menyinga. Aku jadi terlalu takut untuk melihat wajahnya ketika itu.

“Kalau dah bapanya perangai iblis, inilah bahananya. Anak jadi dajal!” Imam Tua menyumpah lagi, sambil membetulkan pokok- pokok padi.

Terkesima

Aku terkesima melihat dan mendengar insiden itu. Tidak sangka suara yang selama ini lunak mengalunkan ayat-ayat Qur‘an ketika mengimami solat dan membaca khutbah di masjid ini semenjak 30 tahun lampau, telah menuturkan kalimah sehodoh itu. Suara itulah yang sudah mengakadkan pernikahan anak mukim entah beratus-ratus, entahkan beribu pasangan agaknya. Suara dari lidah yang memberi ceramah dan kuliah agama di masjid dan madrasah sekitar kampung itu. Suara dari lidah itulah.

Aku yakin Imam Tua perasan akan kehadiranku ketika dia sedang gila dirasuk amarah. Amat tidak munasabah dia tidak dapat melihat objek sebesar kereta Kancilku yang berwarna merah sekalipun sudah luntur.

Wajah kanak-kanak berusia lingkungan lapan hingga sepuluh yang diherdik maki oleh Imam Tua pucat lesi. Dua tiga orang daripadanya semacam hampir menangis. Yang lain menggetis kuku dan tunduk memandang kaki sendiri. Salah seorang daripadanya aku cukup kenal. Budak itu anak Asri Suko.

Aku bersedia untuk sebarang kemungkinan. Jika Imam Tua bertindak liar, pasti aku akan menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Aku meraba golok bersarung di bawah kusyen kereta. Alhamdulillah, aku tidak nampak tanda-tanda Imam Tua akan menggunakan fizikal. Dia terus membetulkan pokok-pokok padi yang ranap. Cuma, kata-kata yang meluncur dari lidahnya, amat berbisa.

“Musim harga beras mahal sekarang, kamu pula lanyak padi aku. Ikut hati, aku selam kamu dalam lumpur. Mahu cari ikan, konon. Habis padi aku rosak.” Belum puas lagi dia membebel.

“Bukan kami yang rosakkan padi Tok Imam.” Jelas kudengar jawapan seorang daripada kanak-kanak tersebut.

“Habis siapa?" Imam Tua menjerkah.

“Anak Tok Imam.” Kanak-kanak itu tergigil-gigil.

“Bohong. Habis kenapa badan kamu kotor, berlumpur? Imam Tua menjegil.

“Kami cuma tengok dia tangkap ikan. Kerana marahkan kami, dia baling kami dengan lumpur.” Anak Asri Suko kulihat menyampuk.

“Takkan tiba-tiba dia marah kamu, penipu!” Imam Tua meludah ke dalam bendang.

“Dia ajak kami turun. Tapi kami tak nak, Tok Imam.”

“Tipu. Aku tak percaya. Kecil-kecil dah pandai bohong.”

“Betul, Tok Imam. Tok pergi tengok, dia menyorok di balik batas tu”

Imam Tua menjenguk batas sebelah. Kaget dan terkesima. Imam Tua seperti dipukau. Lidahnya terkunci. Seketika suasana begitu hening. Masing-masing membatu.

Wajah Imam Tua kulihat pucat sekali. Mulutnya melongong, melompong. Wajahnya tunduk. Tubuhnya longlai. Segala maki-hamun, sumpah-seranah yang dihamburkan tadi rupa-rupanya tertuju kepada anak bongsunya sendiri.

Aku tak sanggup lagi melihat wajah Imam Tua yang bertukar-tukar; sekali hijau seakan-akan biru dan sekali merah manggis. Aku segera berlalu demi menjaga air muka Imam Tua. Belum pun sepuluh meter keretaku bergerak, aku dapat dengar dengan jelas, suara Imam Tua tiba-tiba bertukar nada. Dia menyuruh budak-budak itu balik dan segera cuci lumpur bimbang dimarahi oleh ibu bapa masing-masing.

Saat itu terasa fikiranku terapung dan melayang-layang. Sedar-sedar aku sudah tiba di halaman rumah; sedangkan tadinya, aku memandu ke kebun di seberang bendang.

“Imam, Imam!” Inilah kata-kata yang mengiring hempasan nafas katarsisku setiap kali terbayang peristiwa tersebut.

Putaran kenangan petang semalam seakan menguraikan kekusutan fikiranku. Wajah Imam Tua tunak kutatap. Kini, aku rasa aku tahu sebab Imam Tua berundur. Dan aku pula tidak akan memberitahu sesiapa akan puncanya, tidak sesekali! Insya-Allah. Jauh ke dalam hati, aku kagum dengan budak-budak yang jadi mangsa herdikan Imam Tua. Mereka tidak menceritakan peristiwa itu kepada orang lain hatta ibu bapa masing-masing. Jika mereka sudah ceritakan, nescaya satu kampung dah kecoh.

Aku berdoa, agar keaiban Imam Tua akan terhijab daripada diketahui umum. Aku sedar Imam Tua kini sedang bergelut dengan rasa bersalah. Imam Tua tentu tahu seorang bapa tidak boleh memaki-hamun anak sendiri, kerana ia akan menjadi sebahagian doa yang diaminkan oleh para Malaikat sebaik sahaja terluncur dari lidah.

Selesai solat Jumaat, ramai yang bersalaman dengan Imam Tua. Mungkin sesetengahnya ingin mendapat penjelasan lanjut. Ketika itu aku teragak-agak untuk turut bersalam ataupun terus pulang. Imam Tua tiba-tiba menyeru namaku, “Cikgu!”, sambil menghulur tangan. Tanganku digenggamnya. Kami separa berpeluk. Imam Tua berbisik;

“Saya nak hijrah, untuk memerangi mazmumah”.

Sumber: Sastera/ utusan Online = 11 Januari 2009

Segugus kyuho untuk cikgu

ARKIB : 30/11/2008

Semuanya siap sedia!
Saujana mata memandang. Hijau dan menyegarkan. Pekerja-pekerja sibuk melakukan tugasan masing-masing dengan penuh tanggungjawab.

“Encik Mustaffa, apa lagi yang perlu dilakukan?” tanya Ranjita pembantu peribadi Mustaffa, tuan punya ladang yang akan dirasmikan pagi itu.

“Saya sedang memikirkan orang yang saya jemput untuk merasmikan ladang ini. Adakah dia akan datang?” kata Mustaffa sambil bercekak pinggang. Ada sedikit kerisauan dalam nada suaranya. Matanya tetap mengimbau saujana kehijauan ladang anggur, seluas 200 hektar miliknya itu.

“Saya rasa, kalau Encik Mustaffa jemput Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani pun beliau pasti datang. Ladang Encik ini luar biasa! Ini ladang anggur komersial yang pertama di negara ini,” kata Ranjita sungguh- sungguh memberikan cadangan. Gadis berketurunan India berkelulusan dalam bidang hortikultur di sebuah universiti tempatan itu memang senang bekerja di ladang Segar Manis milik Mustaffa.

“Tapi..., rasa-rasanya terlalu tinggi untuk menjemput Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ladang ini bukannya besar sangat. Lagipun waktunya sudah hampir benar,” jelas Mustaffa dengan panjang lebar. Matanya masih memandang kejauhan, kehijauan.

“Siapakah yang Encik jemput?” Ranjita ingin tahu. Walaupun tugasnya sebagai pembantu peribadi Mustaffa, kali ini dia sendiri tidak mengetahui keputusan majikannya. Mustaffa seolah-olah mahu berahsia pula. Soalan Ranjita tidak dijawabnya.

Wakil-wakil media cetak dan wartawan stesen-stesen televisyen tempatan mula mengerumuni Mustaffa untuk mencungkil rahsia kejayaan anak muda itu. Dalam mengagumi detik permulaan kejayaan itu, Mustaffa terbayang masa lalu yang menjadi sejarah hidupnya. Sejarah yang mencetuskan titik permulaan semua kejayaan itu?

Kenangannya mengimbau ke denai-denai waktu yang pernah dilaluinya. Dulu, ketika di sekolah, bidang pertanian bukanlah pilihannya. Benci amat dia jika disuruh berkebun, biarpun waktu itu dia terpaksa mengambil mata pelajaran Sains Pertanian.

“Mana Mustaffa?” Tanya Cikgu Tan kepada ahli-ahli kelas Tingkatan 3 Emas. Guru mata pelajaran Sains Pertanian itu tahu benar akan kerenah anak muridnya yang seorang itu. Setiap kali giliran Cikgu Tan masuk ke kelas, pasti dia akan bertanya tentang Mustaffa.

“Dia tak masuk kelas, Cikgu!” jawab salah seorang rakannya. Kali ini entah kali yang ke berapa Mustaffa tidak masuk ke kelas. Setiap kali itu juga Cikgu Tan tidak pernah jemu- jemu untuk mencari. Kadang-kadang dengan bantuan rakan-rakan sekelas Mustaffa mereka akan mencari ke tempat-tempat yang sering menjadi tumpuan remaja belasan tahun itu.

“Saya tak minat Sains Pertanian Cikgu..!!” ujar Mustaffa tanpa berselindung. Kalau dulu ada-ada sahaja alasan yang diberikan. Kini dia sudah jemu diburu oleh Cikgu Tan. Dia tidak mahu berselindung lagi.

“Saya tak suruh kamu minat! Saya mahu kamu belajar sahaja,” jawab Cikgu Tan, seolah-olah tidak ada lagi pujukan yang mahu diberikan kepada Mustaffa. Dia tahu Mustaffa datang dari keluarga yang berada. Bapanya seorang ahli perniagaan yang ternama di bandar itu. Dia sahaja anak lelaki dalam keluarga kaya Datuk Zaki. Tidak keterlaluan jika dikatakan Mustaffa bakal mewarisi kekayaan bapanya suatu hari nanti.

Sekali lagi Mustaffa tewas dengan pujukan gurunya. Dia kembali ke kelas dengan berat hati. Berhadapan dengan Cikgu Tan menjadikan hatinya mudah mengalah. Sikap guru mata pelajaran Sains Pertaniannya yang tidak berputus asa itu menjadikan dia tidak dapat mengelak lagi. Sekurang-kurangnya untuk kali ini.

Daripada gelagatnya, memang Mustaffa tidak berminat dengan mata pelajaran Sains Pertanian. Apatah lagi jika Cikgu Tan mengajak anak-anak muridnya turun ke ladang. Wajah Mustaffa akan berubah. Langkahnya ke ladang di hujung padang sekolah itu nampak janggal. Kertas tisu dibawa untuk mengelap kasutnya yang dipenuhi bunga rumput dan lumpur.

Sains Pertanian

“Sudahlah Mus! Kau duduk sajalah kat atas bangunan sana…!” sindir kawan-kawannya. Ternyata Mustaffa memang tidak selesa dengan kerja amali Sains Pertanian. Terjengket-jengket dia berjalan mengelak rerumputan yang berbunga, pohon semalu, dan bunga kemuncup yang mencucuk dan melekat di kaki seluarnya.

Selepas setiap kali sesi kerja amali tamat, Mustaffa akan mengambil banyak masa membersih kasut dari kesan tanah, mencabut kemuncup, dan mengelap bunga rumput yang melekat di kasut dan kaki seluar. Sambil merungut-rungut seorang diri dia mengibas- ngibas semua kekotoran yang sangat menjijikkannya itu.

“Benci betul aku dengan keadaan kotor macam ni…!” rungut Mustaffa seorang diri.

Cikgu Tan hanya memerhatikan gelagat anak muridnya yang seorang itu. Dia sudah faham benar dengan perangai Mustaffa. Dia tidak menyalahkan Mustaffa. Barangkali Mustaffa tidak pernah disuruh oleh bapanya untuk bekerja di ladang. Datuk Zaki seorang usahawan yang berjaya. Dia menceburi pelbagai sektor perniagaan. Dia memiliki syarikat pembinaan yang melaksanakan projek perumahan berjuta-juta ringgit nilainya. Dia juga mempunyai rangkaian perniagaan di peringkat multinasional

“Bagaimanakah Encik Mustaffa mula terlibat dengan penanaman anggur ini?” tanya wartawan sebuah stesen televisyen. Soalan itu mematikan terus lamunan Mustaffa. Kenangannya ketika belajar di sebuah sekolah menengah di kampung kelahirannya lenyap sekelip mata.

“Saya mahu menyahut seruan kerajaan. Slogan “Pertanian Adalah Perniagaan” sangat menarik minat saya. Golongan muda, siswazah kini perlu mengubah persepsi terhadap pertanian. Pertanian kini sumber pendapatan yang lumayan jika dijalankan secara sistematik dan berbantukan teknologi,” jawab Mustaffa dengan penuh keyakinan, walaupun sebetulnya Mustaffa menyembunyikan sumber kejayaannya yang sebenar.

“Adakah iklim dan tanah-tanih negara kita sesuai untuk penanaman anggur?” soalan demi soalan diajukan kepada Mustaffa. Wartawan yang berduyun-duyun itu berminat benar untuk mengetengahkan kejayaan

“Pada hakikatnya, faktor iklim dan tanah yang membolehkan anggur tumbuh seperti di Thailand. Di negara itu terdapat kira-kira 2,717.9 hektar ladang anggur. Kawasan Ratchaburi dan Samut Sakhon ada persamaan dengan iklim di negara kita. Jadi, sudah tentu tanah dan iklim di sini juga sesuai untuk tanaman anggur!” jawab Mustaffa penuh karisma.

“Bolehkah Encik Mustaffa ceritakan spesies-spesies anggur yang ditanam di ladang Segar Manis ini?” kini soalan wartawan menjurus ke arah jenis-jenis anggur yang ditanam.

“Buat masa ini saya menanam beberapa spesies yang sama seperti yang terdapat di Thailand. Antaranya White Malaga, Cardinal, Kyuho, Beauty Seedless, Chenin Blanc, Shiraz, Early Muscat, Carolina Black Rose, dan macam-macam lagi. Secara peribadi, saya amat menyukai spesies Kyuho. Rasanya manis sekali!!” jawab Mustaffa sambil mengingat nama-nama spesies anggur yang ditanam.

“Adakah klon Eropah ditanam di ladang ini?” wartawan terus menyogok Mustaffa soalan demi soalan.

“Tidak! Maksud saya belum dicuba. Saya tertarik dengan beberapa spesies Eropah. Misalnya Cardinal, iaitu kacukan Flame Tokay dengan Ribier, saiznya besar berwarna merah tua. Tidak ada biji. Yang lain saya sedang mengkaji kesesuaian spesies Italia Muscat, Perlette Seedless, Queen, Red Globe, Red Malaga, Thomson Seedless, dan macam-macam lagi,” Mustaffa menjawab dengan wajah selambanya.

“Dari Amerika?!”

“Saya juga berminat dengan spesies Amerika kerana anggur di sana terkenal dengan jolokan slipskin. Kulitnya mudah tanggal dari isinya. Misalnya jenis Concord sangat wangi baunya. Delaware pula agak kecil berwarna merah jambu dan lembut isinya. Saya juga akan mencuba spesies Niagara, Steuben, dan lain-lain,” jawapan Mustaffa membuktikan dia kini serius dalam usahanya mengusahakan ladang anggur.

“Encik Mustaffa menggunakan teknik semaian yang mana satu?” wartawan itu sudah bersedia dengan siri-siri soalan yang akan diajukan kepada Mustaffa.

“Bagi saya, teknik keratan adalah yang terbaik dan yang saya gunakan di ladang ini. Kaedah semaian teknik keratan lebih mudah, proses pembesaran yang cepat, menghasilkan buah yang berkualiti, sesuai dengan cuaca dan tidak memerlukan kos pengeluaran yang tinggi.” Mustaffa pula cukup bersedia dengan jawapan-jawapan konkrit bagi menjawab semua soalan.

“Boleh saya tahu berapa lama pokok anggur boleh hidup,” tanya wartawan itu lagi.

“Jangka hayat pokok yang menggunakan teknik keratan juga lebih panjang hingga boleh menjangkau 80 tahun.” Balas Mustaffa tanpa ragu-ragu. Dia nampaknya sudah mahir benar dengan selok-belok penanaman anggur. Jika tidak, dia pasti tidak yakin dengan jawapannya.

“Apakah faktor yang memungkinkan Encik Mustaffa berjaya dalam bidang ini?” soal wartawan itu lagi. Soalan itu terus mengembalikan kenangan lama Mustaffa sekali lagi. Setiap kali ditanya tentang kejayaan, keazaman, kesungguhan, kenangan zaman sekolah terus tertayang di layar mindanya. Zaman persekolahan yang indah membawa perubahan pada dirinya. Perubahan yang membentuk jati dirinya. Setiap kali itu juga watak yang sering hadir dalam adegan kenangan itu tetap orang yang sama. Orang itulah yang mengubah segala-galanya. Siapakah lagi kalau bukan Cikgu Tan Lian Tong, guru mata pelajaran Sains Pertaniannya semasa di sekolah dahulu. Kenangannya terhadap guru itu kini berbunga kembali.

“Saya tak minat berkebun, Cikgu!” Mustaffa mengaku punca masalahnya tidak menyukai mata pelajaran yang diajarkan oleh Cikgu Tan.

“Ini bukan soal minat, tak minat. Kamu murid saya. Sebagai guru saya bertanggungjawab mengajar mata pelajaran yang diamanahkan kepada saya. Saya perlu mengajar semua murid, seorang pun tidak terkecuali, termasuk kamu!” balas Cikgu Tan, lembut tetapi tegas.

“Cikgu nak suruh saya berkebun dewasa nanti. Cikgu nak suruh saya tanam kangkung, tanam jagung??” Mustaffa tetap bertahan dengan pendiriannya.

“Kalau kamu tak mahu tanam kangkung, tanam jagung, barangkali kamu boleh tanam anggur!!” jawab Cikgu Tan sambil tersenyum, separuh bergurau.

“Ahhh, mustahil!” jawab Mustaffa spontan.

“Mustaffa, dalam hidup ini, selagi kita ada kemahuan, ada keyakinan, tidak ada sesuatu pun yang mustahil,” Cikgu Tan menyuntik semangat kepada anak muridnya yang pesimis itu.

Berubah fikiran

Akan tetapi kegigihan Cikgu Tan mengajar menjadikan dia berubah fikiran. Cikgu Tan tidak pernah jemu. Pujukan dan dedikasi Cikgu Tan telah menyebabkan Mustaffa lulus dengan cemerlang dalam mata pelajaran tersebut. Minatnya terhadap pertanian mula membugar selepas itu. Hasilnya, dia melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang pertanian. Malah rakan-rakannya terkejut dengan perubahan itu.

Tambahan pula selepas dia menamatkan pengajian, kegawatan ekonomi menyerang negara-negara Asia. Perniagaan bapanya merudum teruk. Akhirnya empayar perniagaan Datuk Zaki terpaksa menerima hakikat bahawa kemelesetan ekonomi telah menyebabkan perniagaannya terbantut. Malah Datuk Zaki mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Mustaffa terpaksa memikirkan cara-cara untuk mengembalikan kehidupan mereka sekeluarga seadanya, sementelah dia seorang anak lelaki dalam keluarga itu.

Ketika di kampunglah, Mustaffa mendapati banyak kawasan tanah terbiar yang tidak diusahakan. Anak-anak muda kampung sudah tidak ada lagi. Mereka lebih gemar bekerja di kilang-kilang di bandar. Ketika itulah juga dia teringat akan kata-kata Cikgu Tan lebih sepuluh tahun yang lalu.

“Saya mahu mengubah pandangan masyarakat. Pertama saya ingin mengubah pandangan bahawa anggur tidak boleh ditanam di negara ini. Kedua remaja kita terutama lepasan universiti terlalu bergantung untuk bekerja dalam sektor awam dan swasta. Mereka sepatutnya cuba untuk bekerja sendiri. Kerajaan telah menyediakan pendidikan yang terbaik. Janganlah sia-siakan ilmu yang dipelajari. Ketiga saya ingin mengubah pandangan teman-teman saya, bahawa pertanian ialah bidang yang lumayan jika diusahakan dengan serius. Selama ini mereka tidak yakin dengan potensi bidang pertanian. Mereka lebih rela makan gaji daripada bertani, biar bekerja kilang sekalipun. Saya terbaca bahawa sekarang ini terdapat lebih kurang 30,000 orang graduan menganggur. Golongan ini perlu mengubah paradigma,” kata Mustaffa sebaik sahaja kenangannya hilang.

Memang benar kata Mustaffa. Siswazah hari ini perlu menganjak paradigma mereka. Era makan gaji sudah berlalu. Mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan.

Isu siswazah menganggur telah menjadi isu negara selepas zaman kemelesetan. Setiap hari ada-ada sahaja berita tentang masalah siswazah menganggur. Isu ini juga dibincangkan di parlimen. Namun jalan penyelesaiannya belum ada yang untuk berkesan menangani masalah ini.

Pada pandangan Mustaffa, siswazah itu sendiri yang perlu mengubah nasibnya. Mereka tidak boleh terlalu manja dan dimanjakan. Mereka boleh menceburkan diri dalam bidang perniagaan, sementelah perniagaan merupakan sumber rezeki yang utama.

Jika tidak berniaga, siswazah boleh menjadi usahawan dalam bidang-bidang yang menjanjikan pendapat lumayan. Banyak sudah bukti yang menunjukkan siswazah yang bekerja sendiri mampu memperoleh kekayaan.

Banyak perkara yang boleh dilakukan. Mereka boleh bertani secara moden. Menanam tanaman yang komersial, menternak ikan atau udang, mengusahakan industri kampung, menceburi perniagaan landskap, dan macam- macam lagi. Kerajaan menyediakan berbagai- bagai kemudahan dan subsidi dalam bidang pertanian.

“Apakah masalah besar yang Encik Mustaffa hadapi dalam melaksanakan usaha penanaman anggur ini?” soalan wartawan membawa Mustaffa kembali ke dunia nyata.

“Kawasan ini bekas sawah terbiar. Jadi jenis tanahnya ialah tanah liat. Pembajaannya perlu mengikut spesifikasi yang betul. Misalnya sebelum dibuat pemangkasan, ammonium sulfat, urea atau baja lengkap hendaklah digunakan pada nisbah 15:15:15. Setiap pokok memerlukan antara 200 hingga 300 gram setiap bulan. Dua bulan sebelum masa pemangkasan baja pada kadar 9:25:25 ditabur. Sebaik sahaja mula berputik, baja lengkap pada nisbah 15:15:15 digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan buah. Akhirnya sebaik sahaja buah mula bertukar warna, sebulan sebelum penuaian baja lengkap 13:13:21 atau 9:25:25 ditabur untuk menjamin mutu buah yang dituai itu berkualiti,” jawab Mustaffa dengan panjang lebar. Dengan jawapan itu jelas Mustaffa memang mendalami bidangnya. Bidang yang dibencinya suatu ketika dahulu.

Masa berlalu pantas. Sesi wawancara selesai sudah. Di pentas yang terletak di pinggir ladang, semuanya sudah bersedia. Para jemputan sudah mengambil tempat. Hadirin yang datang tidak habis-habis teruja melihat buah anggur pelbagai spesies bergayutan di ladang yang melaut luasnya.

“Encik Mustaffa, bilakah kita hendak mulakan majlis? Nampaknya semua sudah bersedia..!” Ranjita ingin mendapatkan kepastian.

“Tunggu sekejap! Saya sedang menanti orang yang akan merasmikan majlis ini,” jawab Mustaffa.

“Siapa...!!??” tanya Ranjita tidak sabar. Sejak berhari-hari yang lalu dia ingin mendapat kepastian tentang perkara itu. Akan tetapi Mustaffa tidak memberitahunya.

Sebuah kereta Proton Saga biru tiba-tiba berhenti di muka jalan ke arah ladang. Kemudian seorang lelaki Cina, berwajah lembut dan berpakaian kemas turun dari kereta itu. Dengan tidak membuang masa, Mustaffa bergegas mendapatkan lelaki itu. Paluan kompang tiba-tiba memecah kesunyian. Semua hadirin tercengang-cengang. Mereka tertinjau-tinjau ingin melihat orang kenamaan yang akan merasmikan majlis pembukaan ladang anggur milik Mustaffa itu.

Akhirnya teka-teki itu terjawab. Dalam ucapannya, Mustaffa memperkenalkan Cikgu Tan Lian Tong, bekas guru Sains Pertaniannya semasa di sekolah dahulu.

Cikgu Tan dijemput menyampaikan ucapan. Namun Cikgu Tan tiba-tiba sebak, tidak mampu berucap panjang. Ketika dia memotong reben perasmian, terbukalah kain pemidang yang tertulis “Segugus Kyuho Untuk Cikgu”. Ketika itu juga Mustaffa menghadiahkan segugus buah anggur hitam dari spesies Kyuho untuk bekas guru Sains Pertaniannya, Cikgu Tan Lian Tong.

“Terima kasih, Cikgu! Cikgu telah mengubah persepsi saya tentang kehidupan..!!" Mustaffa memeluk erat bekas gurunya. Suasana menjadi senyap seketika. Perasaan hiba membauri hening pagi di ladang itu.

Sumber: Sastera/ Utusan Online = 11 Januari 2009

Novel pop Islam cair?

ARKIB : 11/01/2009


APABILA pengarang bertemu jodoh dengan penerbit yang sesuai, akan lahirlah karya yang mampu bertemu dengan khalayak umum. Apatah lagi, apabila karya itu memiliki sifat- sifat suka-ramai, dibumbui kisah-kisah masyarakat, feel-good, tidak membebankan dan juga ringan pada fikiran.

Dalam genre novel, karya begini dikategorikan sebagai novel-novel pop. Novel begini bukan sahaja popular di kalangan pelajar sekolah malah turut dibaca dengan rakus oleh sesetengah pembaca dewasa.

Alasan yang diberikan mudah: Novel ini mudah diperoleh, mudah dihadam dan mudah juga dilupakan (lalu beralih ke novel yang lain dengan formula yang sama). Ada pembaca yang mula mengasingkan diri daripada membaca novel-novel pop. Barangkali mereka ini segan dilihat membaca novel-novel yang disifatkan juga oleh sesetengah kelompok sebagai karya yang melalaikan.

Terdapat sekolah yang tidak membenarkan novel-novel begini dibawa sekolah dan pihak pusat sumber sekolah juga telah dimaklumkan supaya tidak mengkatalog novel-novel pop di perpustakaan.

Namun demikian, masih ada ingin membaca novel-novel pop kerana kisah cinta itu amat akrab dengan sesiapa sahaja. Malang sekali, mereka tidak mahu mendapat label tertentu apabila didapati membaca novel-novel demikian.

Kehadiran novel-novel pop Islam yang dipelopori oleh sebuah syarikat penerbitan tempatan semacam mengisi kegersangan kelompok tadi. Atas tiket 'islamik', kumpulan yang merasa dirinya dinafi daripada membaca novel-novel pop, kini dapat menikmati semula suatu 'ledakan cinta'.

Salahkah membaca novel pop Islam? Tentu sekali tidak. Novel-novel ini meskipun memiliki ramuan yang lebih, khususnya, dalam mengangkat tema cinta dan kasih sayang, masih menjaga batas-batas perhubungan berlainan jantina, bagaimana bercinta cara Islam dan sedikit sebanyak panduan membina rumah tangga bahagia.

Tidak ada beza antara novel pop biasa dengan novel pop Islam dari aspek strukturnya. Namun, novel pop Islam ini ibarat membungkus kisah cinta dan kasih sayang tadi dengan sehelai kain organza. Persembahannya cantik tetapi persoalan cinta yang diangkat itu masih jelas tergambar dari luar ataupun dari judul dan persembahan buku tersebut secara luaran.

Justifikasi yang diberikan oleh pengarang- pengarang novel Islam dan juga para pembacanya bagi membolehkan novel ini ditulis sekaligus dinikmati, ialah kejayaan novel Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman El-Shirazy, penulis Indonesia berkelulusan agama dari Timur Tengah.

Tanpa menafikan fenomena Ayat-ayat Cinta yang menular dari Indonesia dan kini di Malaysia, pengarang dan pembaca novel pop Islam tempatan wajar menyusur sejarah kebangkitan novel ini dan seterus melahirkan satu genre baru dalam penulisan novel - iaitu genre novel pop Islam.

Ayat-ayat Cinta ialah satu bentuk wacana balas kepada fenomena yang dihasilkan oleh penulis-penulis Komunitas Utan Kayu yang bernuansa liberalis seperti Ayu Utami. Kejayaan Saman dan Larung karya pengarang ini telah diangkat oleh pengkritik sastera Indonesia ke suatu takah luar biasa hingga menamakan kelompok ini sebagai 'sasterawangi'.

Kemudian, datanglah Ayat- Ayat Cinta. Lalu, ibarat kepala kereta api yang telah memulakan perjalanan serta tertawan dengan fenomena Ayat-ayat Cinta, novelis yang berpendidikan dan berhaluan seperti Habiburrahman mengambil pendekatan yang serupa.

Sedangkan di Malaysia, kehadiran novel- novel pop tidak bersifat keterlaluan seperti Saman dan Larung sehingga harus didatangkan novel-novel pop Islam sebagai satu bentuk penentangan. Oleh sebab sifatnya tidak terlalu menentang kepada aspek bentuk ataupun muatan, jadilah novel pop Islam sebagai salah satu cabang kepada novel pop sedia ada.

Akhir-akhir ini novel-novel pop Islam sebagai satu genre tersendiri sudah semakin cair dan longgar dari aspek muatan. Persoalan cinta semakin likat dalam bancuhan karya sehingga nuansa Islam itu terasa hanya pada nama watak, perincian fizikal (seperti bertudung dan penampilan islamik), latar tempat dan persekitaran semata-mata.

Akhirnya, label 'islamik' ini menjadi suatu lesen kepada pengarang- pengarang dan pembaca-pembaca berkelulusan atau sedang belajar di Timur Tengah, sekolah-sekolah aliran agama menghasilkan karya- karya dengan formula yang serupa dan juga membacanya. Sekali lagi, salahkah mereka berbuat demikian? Sama sekali tidak!

Namun, persoalannya, sampai bilakah golongan yang diberi keistimewaan mendalami jurusan agama ini mahu terus bermain di dalam kancah karya bercinta- cintaan? Lalu, apakah beza kisah cinta penyanyi kelab malam yang bersedia berkahwin dengan seorang hartawan sebagai isteri ketiga atau keempat dengan kisah ustaz - ustazah bercinta, menempuh halangan, lalu berkahwin juga akhirnya?

Persoalan

Bunyinya mungkin keras tetapi hakikatnya persoalan dalam novel cinta Islam sudah menjadi sesuatu yang klise. Benar, novel-novel ini memang mampu laku di pasaran tetapi, sayangnya kebolehan dan keistimewaan yang dimiliki oleh golongan agamawan ini tidak digunakan sepenuhnya. Sekadar watak wanita dipakaikan tudung, ataupun lelaki sehebat Fahri (dalam Ayat-ayat Cinta) yang tidak tinggal solat, boleh sahaja ditulis oleh pengarang yang tidak memiliki kelulusan agama.

Percubaan lebih baik dari Ayat-ayat Cinta telah dilakukan oleh Faisal Tehrani melalui dua novelnya Advencer Si Peniup Ney (persoalan muzik dan hiburan dalam Islam) dan Tunggu Teduh Dulu (usahawan betik yang berkukuh kepada tauhid) ataupun Zaid Akhtar dengan Salju Sakinah (lulusan agama yang menjadi usahawan).

Sebagai contoh, persoalan perbandingan agama juga memerlukan tokoh cerdik agama. Bagi menghujahkan hal tersebut, pengarangnya mestilah mahir selok- belok agama Islam dan dalam masa yang sama menguasai juga agama lain seperti Kristian dan Yahudi. Tidak cukup mengangkat kekuatan Islam sekadar melafazkan ayat-ayat Al-Quran tanpa mampu membuat perbandingan secara logik kepada kelompok yang mempercayai Al-Quran dan hadis.

Kelahiran karyawan muda seperti yang dihimpunkan oleh Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) telah melahirkan ramai pengarang jurusan agama dari Timur Tengah. Mereka juga mempunyai kelab penulisan sendiri yang dikenali sebagai Adabuna. Kumpulan ini dilihat sangat berpotensi untuk membina satu gelombang sastera baharu tanah air.

Tidak salah menulis ataupun membaca karya-karya berbumbu cinta. Namun, kumpulan pengarang agamawan haruslah bijak menghasilkan karya yang jauh terkehadapan, lebih bermaruah dan menggarap persoalan yang lebih penting, berbanding penulis yang tidak memiliki keistimewaan seperti mereka. Andai mampu menjadi emas tempawan, mengapa harus menjadi emas saduran?

Pengarang ialah pejuang meskipun bukan dengan peluru tetapi senjata mereka ialah kata-kata ampuh dan juga bahan karya yang menggugah minda pembaca!

Sumber: Sastera/ Utusan Online = 11 Januari 2009