Wednesday, April 15, 2009

Novel pop Islam cair?

ARKIB : 11/01/2009


APABILA pengarang bertemu jodoh dengan penerbit yang sesuai, akan lahirlah karya yang mampu bertemu dengan khalayak umum. Apatah lagi, apabila karya itu memiliki sifat- sifat suka-ramai, dibumbui kisah-kisah masyarakat, feel-good, tidak membebankan dan juga ringan pada fikiran.

Dalam genre novel, karya begini dikategorikan sebagai novel-novel pop. Novel begini bukan sahaja popular di kalangan pelajar sekolah malah turut dibaca dengan rakus oleh sesetengah pembaca dewasa.

Alasan yang diberikan mudah: Novel ini mudah diperoleh, mudah dihadam dan mudah juga dilupakan (lalu beralih ke novel yang lain dengan formula yang sama). Ada pembaca yang mula mengasingkan diri daripada membaca novel-novel pop. Barangkali mereka ini segan dilihat membaca novel-novel yang disifatkan juga oleh sesetengah kelompok sebagai karya yang melalaikan.

Terdapat sekolah yang tidak membenarkan novel-novel begini dibawa sekolah dan pihak pusat sumber sekolah juga telah dimaklumkan supaya tidak mengkatalog novel-novel pop di perpustakaan.

Namun demikian, masih ada ingin membaca novel-novel pop kerana kisah cinta itu amat akrab dengan sesiapa sahaja. Malang sekali, mereka tidak mahu mendapat label tertentu apabila didapati membaca novel-novel demikian.

Kehadiran novel-novel pop Islam yang dipelopori oleh sebuah syarikat penerbitan tempatan semacam mengisi kegersangan kelompok tadi. Atas tiket 'islamik', kumpulan yang merasa dirinya dinafi daripada membaca novel-novel pop, kini dapat menikmati semula suatu 'ledakan cinta'.

Salahkah membaca novel pop Islam? Tentu sekali tidak. Novel-novel ini meskipun memiliki ramuan yang lebih, khususnya, dalam mengangkat tema cinta dan kasih sayang, masih menjaga batas-batas perhubungan berlainan jantina, bagaimana bercinta cara Islam dan sedikit sebanyak panduan membina rumah tangga bahagia.

Tidak ada beza antara novel pop biasa dengan novel pop Islam dari aspek strukturnya. Namun, novel pop Islam ini ibarat membungkus kisah cinta dan kasih sayang tadi dengan sehelai kain organza. Persembahannya cantik tetapi persoalan cinta yang diangkat itu masih jelas tergambar dari luar ataupun dari judul dan persembahan buku tersebut secara luaran.

Justifikasi yang diberikan oleh pengarang- pengarang novel Islam dan juga para pembacanya bagi membolehkan novel ini ditulis sekaligus dinikmati, ialah kejayaan novel Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman El-Shirazy, penulis Indonesia berkelulusan agama dari Timur Tengah.

Tanpa menafikan fenomena Ayat-ayat Cinta yang menular dari Indonesia dan kini di Malaysia, pengarang dan pembaca novel pop Islam tempatan wajar menyusur sejarah kebangkitan novel ini dan seterus melahirkan satu genre baru dalam penulisan novel - iaitu genre novel pop Islam.

Ayat-ayat Cinta ialah satu bentuk wacana balas kepada fenomena yang dihasilkan oleh penulis-penulis Komunitas Utan Kayu yang bernuansa liberalis seperti Ayu Utami. Kejayaan Saman dan Larung karya pengarang ini telah diangkat oleh pengkritik sastera Indonesia ke suatu takah luar biasa hingga menamakan kelompok ini sebagai 'sasterawangi'.

Kemudian, datanglah Ayat- Ayat Cinta. Lalu, ibarat kepala kereta api yang telah memulakan perjalanan serta tertawan dengan fenomena Ayat-ayat Cinta, novelis yang berpendidikan dan berhaluan seperti Habiburrahman mengambil pendekatan yang serupa.

Sedangkan di Malaysia, kehadiran novel- novel pop tidak bersifat keterlaluan seperti Saman dan Larung sehingga harus didatangkan novel-novel pop Islam sebagai satu bentuk penentangan. Oleh sebab sifatnya tidak terlalu menentang kepada aspek bentuk ataupun muatan, jadilah novel pop Islam sebagai salah satu cabang kepada novel pop sedia ada.

Akhir-akhir ini novel-novel pop Islam sebagai satu genre tersendiri sudah semakin cair dan longgar dari aspek muatan. Persoalan cinta semakin likat dalam bancuhan karya sehingga nuansa Islam itu terasa hanya pada nama watak, perincian fizikal (seperti bertudung dan penampilan islamik), latar tempat dan persekitaran semata-mata.

Akhirnya, label 'islamik' ini menjadi suatu lesen kepada pengarang- pengarang dan pembaca-pembaca berkelulusan atau sedang belajar di Timur Tengah, sekolah-sekolah aliran agama menghasilkan karya- karya dengan formula yang serupa dan juga membacanya. Sekali lagi, salahkah mereka berbuat demikian? Sama sekali tidak!

Namun, persoalannya, sampai bilakah golongan yang diberi keistimewaan mendalami jurusan agama ini mahu terus bermain di dalam kancah karya bercinta- cintaan? Lalu, apakah beza kisah cinta penyanyi kelab malam yang bersedia berkahwin dengan seorang hartawan sebagai isteri ketiga atau keempat dengan kisah ustaz - ustazah bercinta, menempuh halangan, lalu berkahwin juga akhirnya?

Persoalan

Bunyinya mungkin keras tetapi hakikatnya persoalan dalam novel cinta Islam sudah menjadi sesuatu yang klise. Benar, novel-novel ini memang mampu laku di pasaran tetapi, sayangnya kebolehan dan keistimewaan yang dimiliki oleh golongan agamawan ini tidak digunakan sepenuhnya. Sekadar watak wanita dipakaikan tudung, ataupun lelaki sehebat Fahri (dalam Ayat-ayat Cinta) yang tidak tinggal solat, boleh sahaja ditulis oleh pengarang yang tidak memiliki kelulusan agama.

Percubaan lebih baik dari Ayat-ayat Cinta telah dilakukan oleh Faisal Tehrani melalui dua novelnya Advencer Si Peniup Ney (persoalan muzik dan hiburan dalam Islam) dan Tunggu Teduh Dulu (usahawan betik yang berkukuh kepada tauhid) ataupun Zaid Akhtar dengan Salju Sakinah (lulusan agama yang menjadi usahawan).

Sebagai contoh, persoalan perbandingan agama juga memerlukan tokoh cerdik agama. Bagi menghujahkan hal tersebut, pengarangnya mestilah mahir selok- belok agama Islam dan dalam masa yang sama menguasai juga agama lain seperti Kristian dan Yahudi. Tidak cukup mengangkat kekuatan Islam sekadar melafazkan ayat-ayat Al-Quran tanpa mampu membuat perbandingan secara logik kepada kelompok yang mempercayai Al-Quran dan hadis.

Kelahiran karyawan muda seperti yang dihimpunkan oleh Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) telah melahirkan ramai pengarang jurusan agama dari Timur Tengah. Mereka juga mempunyai kelab penulisan sendiri yang dikenali sebagai Adabuna. Kumpulan ini dilihat sangat berpotensi untuk membina satu gelombang sastera baharu tanah air.

Tidak salah menulis ataupun membaca karya-karya berbumbu cinta. Namun, kumpulan pengarang agamawan haruslah bijak menghasilkan karya yang jauh terkehadapan, lebih bermaruah dan menggarap persoalan yang lebih penting, berbanding penulis yang tidak memiliki keistimewaan seperti mereka. Andai mampu menjadi emas tempawan, mengapa harus menjadi emas saduran?

Pengarang ialah pejuang meskipun bukan dengan peluru tetapi senjata mereka ialah kata-kata ampuh dan juga bahan karya yang menggugah minda pembaca!

Sumber: Sastera/ Utusan Online = 11 Januari 2009

No comments:

Post a Comment