Wednesday, April 15, 2009

Hijrah

ARKIB : 04/01/2009

OLEH Abd Razak @ Rezeki Othman

IMAM Tua tidak memakai jubah hitam berjalur keemasan yang dibekalkan oleh Majlis Agama Islam Negeri seperti lazimnya. Hari ini dia hanya berbaju Melayu dan berkain pelikat. Kain serban dilipat bentuk tiga segi hanya disebar di bahu, tidak dililit di kepala. Sepatutnya jubah khas itu dipakai bagi membayangkan autoritinya sebagai imam bertauliah. Kepala yang sentiasa berlilit serban putih, kini cuma berkopiah.

Jarum di dinding masjid melewati angka satu. Waktu Zuhur sudah berlalu sepuluh minit. Azan pertama telah dilaungkan. Jemaah solat Jumaat kian ramai. Namun masih ada yang bersidai di tempat letak motosikal. Sebahagian pula ralit di bawah naungan pohon besar di kanan masjid. Melihat kehadiran Imam Tua, masing-masing bersurai dan memasuki masjid.

Bilal nampak Imam Tua melangkah masuk dari pintu kanan masjid. Dia tidak mempersoalkan kelewatan Imam Tua. Sementara makmum pula, memang disunatkan datang awal. Imam umpama guru dan makmum adalah murid. Tidak elok guru yang ingin mencurah ilmu, terpaksa menunggu murid. Kemuliaan ilmu umpama sungai, datangnya dari tempat yang tinggi, mengalir turun ke tempat rendah. Muridlah yang menunggu dan menadahnya dengan hati.

Minggu ini giliran Imam Tua, kerana minggu lepas Imam Muda menjadi khatib. Selalunya kedua-dua imam ini bergilir-gilir membaca khutbah dan mengimami solat Jumaat, berselang-seli.

Sebaik Imam Tua selesai mengerjakan sunat tahayatul-masjid, bilal bangun ke sisi mehrab dan mengambil tongkat khutbah untuk diserahkan kepada Imam Tua. Lekas-lekas Imam Tua mendesis, sambil tangan mengisyaratkan.

Imam Tua turut bangun ke arah mikrofon yang biasa digunakan oleh bilal. Dia menggenggam mikrofon dan memberi salam. Kemudian dia tunduk terdiam. Imam Tua seperti tercari-cari kata-kata sesuai untuk dituturkan.

Makmum tahu imam ingin buat hebahan. Masing-masing memberi perhatian. Setelah itu Imam Tua mengangkat muka. Suara Imam Tua agak perlahan dan tersekat-sekat, tidak lunak dan lancar seperti selalu.

“Tuan-tuan, dan semua anak mukim yang saya kasihi. Hari ini 28 Zulhijah 1429, bermakna dua hari lagi kita akan menyambut tahun baru Hijriah 1430. Tuan-tuan sekelian, saya sudah buat keputusan ‘berhijrah’ daripada menjawat jawatan imam kepada menjadi orang awam. Hari ini hari terakhir saya sebagai imam mukim ini. Saya akan meletakkan jawatan ini berkuatkuasa I Muharam 1430. Saya kira khutbah Jumaat hari ini khutbah terakhir saya. Khutbah widak.” Ada kesayuan dalam ucapannya.

“Sepanjang 30 tahun bertugas, sebagai manusia saya mungkin melakukan kesilapan. Maka saya mohon banyak-banyak maaf di atas kesalahan dan kelemahan sama ada yang nyata mahupun tersembunyi. Tolong beritahu permohonan maaf saya kepada seluruh anak mukim yang tidak berada dalam masjid ini, hari ini. Sekian.”

Jemaah sidang Jumaat mempamerkan pelbagai reaksi; ada yang melongong, melompong dan kepompongan. Pengisytiharan Imam Tua tidak disangka. Benarkah Imam Tua hendak berhijrah? Hijrah ke mana? Tentu ada sebab mengapa tiba-tiba Imam Tua hendak meletakkan jawatan.

Imam Muda turut melongong, matanya terkelip-kelip. Mulut tok siak ternganga, terkulat-kulat. Di dalam saf ketiga bahagian tepi kiri dua orang “Asri” terlopong. Asri Bobot melompong dan Asri Suko kepompongan. Yang lain-lain terkebil-kebil, saling berpandangan.

Aku yang berada di saf keempat di belakang Asri Bobot dan Asri Suko, turut melongong. Hatiku beristighfar berkali-kali sambil menarik nafas panjang. Sepanjang azan kedua, aku diterpa pelbagai pertanyaan ekoran pengumuman Imam Tua.

Imam Tua berdehem sekali, kemudian memulakan khutbah. Bacaannya dari awal tersekat-sekat, tersasul dan tenggelam timbul. Sejurus, kulihat tangannya mengelap mata dan hidung dengan bucu serban. Imam tua menangis ketika berkhutbah!


Tersasul

Jemaah yakin tersasul itu bukan disebabkan Imam Tua lupa memakai kaca mata rabun dekat yang biasa dibawa ke mana-mana. Bukan itu. Bacaan Imam Tua tersekat dan tersasul kerana emosinya terganggu. Inilah kali pertama dalam sejarah Imam Tua membaca khutbah sambil mengalirkan air mata, walau dicuba untuk menyembunyikan tangisan itu.

Apabila menyeru sidang Jumaat bertakwa dengan sebenar-benar takwa kepada Allah, suara Imam Tua bergetar. Dia teragak-agak membaca surah yang biasa untuk mengukuhkan seruan supaya hadirin takutkan Allah. Imam Tua membaca sepotong al-Qur‘an iaitu daripada surah An-Nur ayat 52, tetapi tidak membaca terjemahannya seperti biasa. Seakan ada kegugupan untuk dia meneruskan khutbah. Matanya mula berair.

Terdengar soksek-soksek di saf belakang, “Kenapa Imam Tua menangis?”

Dadaku berdebar. Aku beristighfar beberapa kali dan cuba memberi tumpuan kepada isi khutbah. Dua Asri di hadapanku kelihatan saling menjeling.

Tidak seperti makmum lain di belakang, mereka patuh kepada adab dan hukum ketika khutbah dibacakan. Imam Muda melihat tangan Imam Tua terketar-ketar. Imam Muda menyiapkan diri untuk menyambung khutbah sekiranya Imam Tua tidak mampu meneruskan tugas. Dia siap-siaga menunggu isyarat dari Imam Tua.

Asri Bobot dan Asri Suko kulihat gelisah. Namun bagi mereka berdua - hal ini pucuk dicita ulam yang datang. Aku tahu mereka berdua antara sebilangan anak mukim yang tak sukakan Imam Tua. Kalau boleh biar Imam Tua dipecat oleh Majlis Agama Islam Negeri. Apa yang berlaku sekarang Imam Tua lebih dulu ‘memecatkan dirinya’.

“Imam Tua dah marahkan kita Bobot.”

“Patutlah Imam Tua tak angkat muka langsung dan pandang ke arah kita.”

“Kau yang bocorkan rahsia kita, tak?”

“Sumpah, bukan. Dari mana Imam Tua tahu?"

“Pasti ada mata-telinganya, sebab kita bincang perkara ini di kedai kopi.”

Mereka tidak mampu menahan adab masjid supaya tidak bercakap-cakap semasa khatib berkhutbah. Atau sengaja buat-buat lupa dek hati diserbu rasa ingin tahu bertalu-talu. Dua hari lepas, di kedai kopi Haji Li, Asri Bobot melahirkan rasa tidak senang fasal Imam Tua yang didakwanya penyebab kepada perpecahan dalam kalangan penduduk. Perpecahan itu disebabkan perbezaan fahaman politik langsung tidak dibendung, bahkan lebih buruk lagi Imam Tua sendiri terang-terangan telah menyebelahi satu pihak.

Semasa pilihan raya dulu, tanpa segan-silu Imam Tua menyertai penyokong-penyokong parti di ‘pos-pos panas’ bagi menzahirkan pendiriannya. Telatahnya melaung slogan parti di khalayak disorot oleh ramai anak mukim. Dari situlah keharmonian kampung itu mulai dicemari anasir perpecahan. Aku sendiri terkesan hal ini. Sehingga institusi masjid turut dijadikan medan untuk satu pihak memanipulasi agenda politik mereka. Hal ini menyebabkan jemaah masjid dan penduduk jadi berpuak-puak.

Kecewa dengan sikap Imam Tua itulah, Asri Suko berbincang dengan Asri Bobot untuk memaklumkan perkara ini kepada Tuan Pegawai Daerah. Tujuannya untuk membendung perpecahan daripada menjadi lebih buruk.

“Langkah kedua, kalau cara itu tak berkesan; aku sendiri akan tulis surat kepada Majlis Agama Islam.” Kata-kata ‘aku sendiri akan tulis’ ditekan-tekan oleh Asri Suko. Aku yang turut mendengar kata-katanya terasa geli hati. Memang seperti yang aku jangka, Asri Suko datang bertandang ke rumahku pada malamnya dan meminta aku menaip surat, melaporkan angkara Imam Tua kepada pihak Majlis Agama.

Terlibat

“Saya boleh taip surat itu. Tetapi isi surat sama sekali saya tidak akan sebut nama individu yang terlibat. Saya tak mahu menuduh orang secara jelas. Kita hantar laporan, biar pihak Majlis datang siasat punca. Kalau cara ini, saya boleh tulis. Tapi kalau sampai nak arahkan pihak Majlis supaya pecat Imam Tua; rasa saya, ini kurang manis. Lagipun kita ni siapa?”

Asri Suko agak kecewa dengan jawapanku. Buat apa nak berdiplomasi, katanya; terus-terang saja kepada pihak Majlis. Bukan niatku untuk mencantas idea Asri Suko itu, tapi aku harus jadi penapis. Aku bimbang, perkara ini amat sensitif. Ia melibatkan orang ramai. Bila sebut pasal orang ramai, banyak benda perlu pertimbang. Untuk selesaikan satu masalah, kadang-kadang muncul pula dua-tiga masalah baru yang lain.

“Bobot, engkau ke yang beritahu Imam Tua rancangan aku?” Asri Suko menerka.

“Hish!” Asri Bobot menyiku Asri Suko. Mukanya masam mencuka.

Masing-masing diterpa pelbagai persoalan. Bacaan khutbah Imam Tua terus-menerus tersekat, tersasul. Sesekali Imam Tua berhenti dan mengesat air mata dengan kain serban di bahunya. Lama juga Imam Tua duduk di kerusi mimbar sewaktu istirehat antara dua khutbah. Selesai Bilal memperdengarkan doa, Imam Tua masih tidak menyambung khutbah kedua.

Aku juga dirasuk rasa ingin tahu. Apakah kerana Imam Tua tercabar dengan desas-desus orang kampung hendakkan beliau dipecat? Atau adakah ini ada kaitan dengan peristiwa petang semalam? Aku yakin, peristiwa petang semalam amat dominan dengan pengisytiharan Imam Tua sekejap tadi.

Batinku seakan menjerit untuk meluahkan satu rahsia yang tersimpan sejak semalam. Kalau boleh aku ingin memberitahu Asri Suko dan Asri Bobot tentang perkara ini, sekali gus merungkai situasi. Namun kutahankan hati agar bersabar; pertama kerana, khutbah sedang berlangsung, kedua; berdosa hukumnya jika dedahkan keaiban orang.

Ya, biarlah rahsia ini kujaga, untuk kujadikan teladan dan sempadan. Namun gegendang telingaku terasa bagaikan hendak pecah dengan suara maki hamun dan sumpah-seranah yang tidak henti-henti berdengung. Kata-kata maki-seranah, dan sedikit carutan lucah itu seumur hidupku tidak pernah dengar. Malang sekali, kata-kata hodoh itu datangnya dari mulut seorang imam, Imam Tua itulah.

Aku yang kebetulan melalui jalan parit untuk ke kebun pisang di seberang sawah telah menyaksikan suatu insiden yang jarang sekali berlaku. Aku tidak tahu mengapa aku memilih jalan alternatif itu, sedangkan ada jalan lain yang lebih elok untuk ke sana.

“Budak-budak laknat, anak celaka, anak syaitan, iblis. Kau jahanamkan padi aku! Kau orang tak reti tengok ke, ini tanah orang, padi orang!”

Ketika itu aku melihat ada syaitan bertenggek di kepala Imam Tua. Wajah Imam Tua garang menyinga. Aku jadi terlalu takut untuk melihat wajahnya ketika itu.

“Kalau dah bapanya perangai iblis, inilah bahananya. Anak jadi dajal!” Imam Tua menyumpah lagi, sambil membetulkan pokok- pokok padi.

Terkesima

Aku terkesima melihat dan mendengar insiden itu. Tidak sangka suara yang selama ini lunak mengalunkan ayat-ayat Qur‘an ketika mengimami solat dan membaca khutbah di masjid ini semenjak 30 tahun lampau, telah menuturkan kalimah sehodoh itu. Suara itulah yang sudah mengakadkan pernikahan anak mukim entah beratus-ratus, entahkan beribu pasangan agaknya. Suara dari lidah yang memberi ceramah dan kuliah agama di masjid dan madrasah sekitar kampung itu. Suara dari lidah itulah.

Aku yakin Imam Tua perasan akan kehadiranku ketika dia sedang gila dirasuk amarah. Amat tidak munasabah dia tidak dapat melihat objek sebesar kereta Kancilku yang berwarna merah sekalipun sudah luntur.

Wajah kanak-kanak berusia lingkungan lapan hingga sepuluh yang diherdik maki oleh Imam Tua pucat lesi. Dua tiga orang daripadanya semacam hampir menangis. Yang lain menggetis kuku dan tunduk memandang kaki sendiri. Salah seorang daripadanya aku cukup kenal. Budak itu anak Asri Suko.

Aku bersedia untuk sebarang kemungkinan. Jika Imam Tua bertindak liar, pasti aku akan menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Aku meraba golok bersarung di bawah kusyen kereta. Alhamdulillah, aku tidak nampak tanda-tanda Imam Tua akan menggunakan fizikal. Dia terus membetulkan pokok-pokok padi yang ranap. Cuma, kata-kata yang meluncur dari lidahnya, amat berbisa.

“Musim harga beras mahal sekarang, kamu pula lanyak padi aku. Ikut hati, aku selam kamu dalam lumpur. Mahu cari ikan, konon. Habis padi aku rosak.” Belum puas lagi dia membebel.

“Bukan kami yang rosakkan padi Tok Imam.” Jelas kudengar jawapan seorang daripada kanak-kanak tersebut.

“Habis siapa?" Imam Tua menjerkah.

“Anak Tok Imam.” Kanak-kanak itu tergigil-gigil.

“Bohong. Habis kenapa badan kamu kotor, berlumpur? Imam Tua menjegil.

“Kami cuma tengok dia tangkap ikan. Kerana marahkan kami, dia baling kami dengan lumpur.” Anak Asri Suko kulihat menyampuk.

“Takkan tiba-tiba dia marah kamu, penipu!” Imam Tua meludah ke dalam bendang.

“Dia ajak kami turun. Tapi kami tak nak, Tok Imam.”

“Tipu. Aku tak percaya. Kecil-kecil dah pandai bohong.”

“Betul, Tok Imam. Tok pergi tengok, dia menyorok di balik batas tu”

Imam Tua menjenguk batas sebelah. Kaget dan terkesima. Imam Tua seperti dipukau. Lidahnya terkunci. Seketika suasana begitu hening. Masing-masing membatu.

Wajah Imam Tua kulihat pucat sekali. Mulutnya melongong, melompong. Wajahnya tunduk. Tubuhnya longlai. Segala maki-hamun, sumpah-seranah yang dihamburkan tadi rupa-rupanya tertuju kepada anak bongsunya sendiri.

Aku tak sanggup lagi melihat wajah Imam Tua yang bertukar-tukar; sekali hijau seakan-akan biru dan sekali merah manggis. Aku segera berlalu demi menjaga air muka Imam Tua. Belum pun sepuluh meter keretaku bergerak, aku dapat dengar dengan jelas, suara Imam Tua tiba-tiba bertukar nada. Dia menyuruh budak-budak itu balik dan segera cuci lumpur bimbang dimarahi oleh ibu bapa masing-masing.

Saat itu terasa fikiranku terapung dan melayang-layang. Sedar-sedar aku sudah tiba di halaman rumah; sedangkan tadinya, aku memandu ke kebun di seberang bendang.

“Imam, Imam!” Inilah kata-kata yang mengiring hempasan nafas katarsisku setiap kali terbayang peristiwa tersebut.

Putaran kenangan petang semalam seakan menguraikan kekusutan fikiranku. Wajah Imam Tua tunak kutatap. Kini, aku rasa aku tahu sebab Imam Tua berundur. Dan aku pula tidak akan memberitahu sesiapa akan puncanya, tidak sesekali! Insya-Allah. Jauh ke dalam hati, aku kagum dengan budak-budak yang jadi mangsa herdikan Imam Tua. Mereka tidak menceritakan peristiwa itu kepada orang lain hatta ibu bapa masing-masing. Jika mereka sudah ceritakan, nescaya satu kampung dah kecoh.

Aku berdoa, agar keaiban Imam Tua akan terhijab daripada diketahui umum. Aku sedar Imam Tua kini sedang bergelut dengan rasa bersalah. Imam Tua tentu tahu seorang bapa tidak boleh memaki-hamun anak sendiri, kerana ia akan menjadi sebahagian doa yang diaminkan oleh para Malaikat sebaik sahaja terluncur dari lidah.

Selesai solat Jumaat, ramai yang bersalaman dengan Imam Tua. Mungkin sesetengahnya ingin mendapat penjelasan lanjut. Ketika itu aku teragak-agak untuk turut bersalam ataupun terus pulang. Imam Tua tiba-tiba menyeru namaku, “Cikgu!”, sambil menghulur tangan. Tanganku digenggamnya. Kami separa berpeluk. Imam Tua berbisik;

“Saya nak hijrah, untuk memerangi mazmumah”.

Sumber: Sastera/ utusan Online = 11 Januari 2009

No comments:

Post a Comment